Amalan Gotong Royong



      DUA 6022  KOMUNIKASI DAN PENYIARAN DALAM ISLAM


TAJUK E-FOLIO :
AMALAN GOTONG-ROYONG DAPAT MENGERATKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM DI KALANGAN KAUM



AHLI KUMPULAN:
M. SYAHMI DINIE BIN ZULIKI                                      02DKA15F1104
M. SYAFIQ BIN ISHAK                                                     02DKA15F1026
M. ZAIIRUL HAIIKAL BIN CHE ZAINUDDIN             02DKA15F1102
HAFIZ SHAHIR BIN OSMAN                                           02DKA15F1159
M. HANIF BIN KAMAL                                                     02DKA15F1042
AHMAD NAZIM BIN MUSANIFF                                    02DKA15F1167












PENGENALAN

           Pada masa kini, isu-isu yang berkaitan dengan aktiviti gotong-royong kerap menjadi perbualan masyarakat. Aktiviti gotong-royong banyak mendatangkan kebaikan kepada masyarakat contohnya mengeratkan hubungan silaturrahim dikalangan masyarakat yang berlainan bangsa. Gotong-royong juga adalah suatu aktiviti kemasyarakatan yang mewujudkan nilai-nilai murni seperti amalan tolong-menolong dan kerjasama. Seperti pepatah berkata “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK PERPADUAN MELALUI AKTIVITI GOTONG ROYONG

          Dewasa kini, amalan gotong-royong kian dipandang remeh akibat daripada masyarakat lebih mengutamakan kepentingan diri sendiri. Dari bangku sekolah, amalan gotong-royong ini diterapkan supaya kerja murni bermasyarakat ini akan terus lestari seiring dengan kemajuan negara. Ibubapa juga menjadi tonggak utama dalam mendidik anak-anak untuk berinteraksi dengan masyarakat luar serta kejiranan mereka. Keberadaan mereka dihargai dan dimanfaatkan oleh masyarakat dalam usaha melaksanakan sesuatu yang bermanfaat demi kesejahteraan umum.


            Secara umum, para pendidik bertindak sebagai penasihat kepada pelajar-pelajar khususnya dalam aspek menguruskan kerja-kerja berkumpulan. Badan-badan kerajaan atau sukarelawan harus bergerak lebih efisien dalam usaha meningkatkan semangat gotong-royong. Forum serta kempen kejiranan yang tersusun dan berkala boleh diusahakan sebagai satu inisiatif dalam menyebarkan maklumat tentang kepentingan gotong-royong. Turut disertakan bersama-sama masyarakat setempat dalam membantu aktiviti gotong-royong. Contohnya, pertubuhan sukarelawan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) bekerjasama dengan warga setempat seperti pembersihan kawasan masjid dan sekitar perumahan ditambah pula dengan aktiviti mengecat dan sebagainya.



KEBAIKAN AMALAN GOTONG-ROYONG

Antara kebaikan aktiviti gotong-royong adalah dapat mewujudkan semangat kerjasama antara masyarakat serta kaum sebagai contoh memupuk semangat kejiranan di sekitar perumahan yang berbilang kaum. Ini juga memberi impak kepada masyarakat bahawa kerja-kerja berat akan mampu dilaksanakan sekiranya semangat bersatu padu masyarakat turun memberikan bantuan untuk melaksanakan gotong-royong. Gerakan kerja berkelompok seperti gotong-royong ini sangat penting dalam memupuk semangat kejiranan antara kaum dalam sesuatu kawasan. Hal ini dilihat kerana kesan daripada aktiviti ini memberikan satu suntikan baru tentang konsep bekerjasama antara masyarakat terutama dikawasan urbanisasi.

Bergotong-royong juga boleh disifatkan sebgai suatu aktiviti riadah keluarga atau masayrakat setempat dalam membersihkan dan mempercantikkan kawasan tempat tinggal serta persekitaran.  Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar ‘indah khabar dari rupa’. Sebab pentingnya aktiviti ini adalah dapat mengelakkan diri daripada terkena penyakit sebagai contoh Aedes disamping menjaga kawasan persekitaran.

Aktiviti seperti ini sangatlah berfaedah dan haruslah diamalkan oleh masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa seseorang. Tidak mengira umur usaha menjalankan gotong-royong ini hendaklah dilakukan selalu untuk menampakkan ciri-ciri masyarakat yang prihatin. Oleh itu, aktiviti seperti ini harus dipraktikan dari kecil seperti ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ agar menjadi ikutan. Gotong-royong ini juga satu langkah yang baik untuk mengkekalkan kesihatan kerana ini adalah aktiviti yang sihat disamping dapat berpeluh dan menghirup udara.

Dalam Islam kebersihan adalah penting sama ada pada diri mahupun persekitaran. Tidak hairanlah agama lain juga turut menerapkan amalan kebersihan kerana ia melambangkan kesucian agama sendiri termasuklah agama Islam. ‘Kebersihan itu sebahagian daripada iman’ sudah menjadi tema bagi orang-orang Islam. Ini juga menunjukkan bahawa kebersihan bukanlah suatu yang tidak penting. Oleh itu, gotong-royong  sangatlah penting untuk membentuk personaliti  dalam hidup bermasyarakat tidak mengira kaum bahkan agama itu sendiri.


USAHA-USAHA MEWUJUDKAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA MELALUI AKTIVITI GOTONG ROYONG

Usaha-usaha yang dilakukan dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan menggalakkan aktiviti gotong-royong. Aktiviti seperti ini dapat mengeratkan masyarakat untuk sama-sama bekerjasama dalam bergotong-royong kawasan persekitaran. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat saling membantu untuk membersihkan kawasan persekitaran tempat tinggal sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya.

SEMANGAT GOTONG-ROYONG

Masyarakat pada hari ini bersikap materialistik sehingga amalan hidup bermasyarakat seperti bergotong-royong dipinggirkan. 

Pada era globalisasi ini, masyarakat terdorong untuk mengutamakan kekayaan dan kekuasaan dalam mengejar arus kemodenan perdana kerana taraf hidup yang semakin meningkat. Masyarakat sanggup bekerja keras siang dan malam untuk mengumpul kekayaan sehingga terabai nilai-nilai murni yang pernah menjadi amalan masyarakat pada suatu ketika dahulu. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana masalah ini boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menyemarakkan kembali aktiviti bergotong-royong. Malangnya, usaha tersebut tidak mendapat sambutan daripada masyarakat sendiri. Jika ditinjau dengan mendalam, masyarakat menghadapi beberapa halangan untuk menghadiri aktiviti-aktiviti bermasyarakat khususnya amalan bergotong-royong.

Antara halangan yang dihadapi oleh masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti bergotong-royong ialah kehidupan masyarakat yang sibuk berkerjaya. Masyarakat pada hari ini lebih moden berbanding dahulu seiring dengan peredaran zaman. Masyarakat yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur khususnya berfikiran lebih terbuka dan bersifat materialistik. Masyarakat menilai dari segi penampilan luaran dan mengamalkan sikap ‘bagai enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’. Seseorang itu dinilai dari segi jenama pakaian, jenis kereta, jenis rumah, jawatan dalam pekerjaan dan tahap pengaruh dalam bidang masing-masing.

Sehubungan dengan itu, masyarakat berlumba-lumba membanting tulang mengumpul kekuasaan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing. Akibat daripada budaya pemikiran tersebut, kebanyakan masyarakat yang tinggal di kota raya mempunyai karier yang sibuk kerana rata-rata menjawat pekerjaan yang profesional seperti ahli perniagaan, peguam dan akauntan. Selain itu, bukan kaum lelaki sahaja yang keluar mencari nafkah bahkan kaum wanita turut ikut serta. Taraf kaum wanita dikatakan ‘berdiri sama tinggi duduk sama rendah’ dengan kaum lelaki dalam alam kerjaya. Ini dapat dibuktikan apabila kaum wanita diberi kepercayaan untuk menjawat pangkat yang tinggi dalam sesebuah firma besar. Lantaran itu, rutin harian banyak dihabiskan di tempat kerja berbanding di rumah. Kesan daripada itu, walaupun kegiatan bergotong-royong diadakan di tempat kediaman masing-masing tetapi amalan bergotong-royong tiada sambutan kerana masing-masing tiada di rumah. Malang lagi, ada yang langsung tidak mengambil peduli persekitaran sehingga tidak mengetahui adanya kegiatan bergotong-royong ini. Oleh itu, kita dapat simpulkan bahawa kesibukan dalam kerjaya menjadi penghalang kepada amalan bergotng-royong.

Institusi rukun tetangga yang tidak berfungsi juga merupakan salah satu daripada halangan kepada amalan bergotong-royong. Institusi rukun tetangga ditubuhkan untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan kawasan kediaman akan tetapi kemudahan ini tidak digunakan sebaiknya.
Pada suatu ketika dahulu, institusi rukun tetangga bergerak secara aktif yang diketuai oleh penghulu kampung. Organisasi ini juga melibatkan golongan pemuda-pemudi selain daripada golongan yang lebih tua. Secara tidak langsung, golongan muda dapat bekerjasama dan mengeratkan silaturrahim dengan golongan tua seperti yang diuar-uarkan dalam kempen di televisyen iaitu ‘yang tua dihormati yang muda disayangi’. Pada setiap malam, penghulu akan mengadakan mesyuarat di balai raya untuk membincangkan keselamatan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan. Melalui itu, amalan seperti bergotong-royong dapat dijalankan dan masyarakat juga berpeluang untuk bergaul mesra. Apabila zaman telah berubah, kehidupan masyarakat juga mengalami anjakan paradigma. Kini, organisasi ini hampir tidak bergerak lagi kerana tiada pelapis untuk mengendalikannya. Orang muda sibuk berkerjaya sehingga ke luar negara kerana tawaran pendapatan yang lumayan. Ini memberi gambaran awal kepada kita bahawa golongan muda lebih memandang ganjaran untuk melakukan sesuatu. Oleh itu, mereka tidak berminat mengendalikan institusi rukun tetangga yang tidak memberi pulangan hasil. Sebagai hasilnya, keruntuhan institusi rukun tetangga memberi pengaruh yang besar kepada amalan bergotong-royong.

Kita tidak dapat menafikan bahawa banyak kebaikan yang diperoleh oleh masyarakat daripada amalan bergotong-royong. Menyedari hal ini, kerajaan berusaha untuk menanam kembali amalan ini dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menarik perhatian dan minat masyarakat terhadap amalan bergotong-royong. 
Antaranya ialah melaksanakan kempen dengan berkesan. Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bergotong-royong serta sebagai rangsangan untuk melibatkan masyarakat dalam amalan ini. Untuk memastikan kempen ini benar-benar berjaya, peranan media massa dan media cetak sangat penting. Media elektronik boleh menghebahkan kempen ini di dalam televisyen, radio dan suratkhabar agar masyarakat terdedah dengan maklumat tersebut secara meluas. Walaupun kempen seperti ‘cintailah sungai kita’ dan ‘jom hapuskan aedes’ merupakan aspek kesihatan dan alam sekitar tetapi kempen ini secara tidak langsung menuntut masyarakat untuk bergotong-royong. Contohnya, kempen ‘jom hapuskan aedes’ memerlukan masyarakat untuk bergotong-royong membersihkan kawasan tempat pembiakan aedes iaitu di longkang atau daun-daun kering di sekitar kawasan rumah. Kempen-kempen tersebut dilihat berkesan kerana masyarakat mula berjinak-jinak dengan amalan tersebut di samping untuk menjaga kebersihan. Kejayaan kempen ini terhasil di atas kerjasama media elektronik dan juga kerajaan seperti bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing’ yang akhirnya membuahkan hasil.

Bak kata pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’. Oleh itu, untuk memastikan masyarakat pada generasi akan datang agar tidak ketandusan nilai ini, langkah seperti penerapan dalam pendidikan di sekolah wajar dilaksanakan untuk menyemai amalan ini dari peringkat awal lagi. Dalam pendidikan, amalan ini dapat ditanam melalui mata pelajaran seperti pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan. Melalui mata pelajaran tersebut, pelajar didedahkan dengan kepentingan nilai-nilai murni dan mengaplikasikan nilai tersebut dalam kehidupan. Guru memberi pendedahan dan penerangan tentang nilai-nilai murni tersebut dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk mendekatkan para pelajar dengan amalan nilai-nilai murni. Selain itu, sekolah juga memain peranan penting untuk menggalakkan pelajar supaya bergotong-royong. Pada hari yang tertentu seperti Hari Guru, Hari Sukan dan pekhemahan pasukan beruniform, sekolah menetapkan pelajar dan guru untuk bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Secara tidak langsung, para pelajar dipupuk amalan ini sejak dari bangku sekolah dan akan diteruskan sehingga dewasa dalam komuniti masyarakat. Oleh yang sedemikian, langkah menerapkan nilai ini dalam pendidikan oleh kerajaan harus dipuji.

Langkah yang lain untuk menanam nilai ini dalam diri masyarakat ialah penglibatan dari badan bukan kerajaan(NGO) dengan lebih giat. Badan NGO boleh turun padang untuk membantu kerajaan menarik minat masyarakat dalam amalan gotong-royong. Untuk merealisasikan harapan kerajaan mewujudkan masyarakat bergotong-royong, syarikat swasta boleh menganjurkan pertandingan kampung tercantik dengan ganjaran lumayan kepada pemenang. Dengan cara itu, masyarakat lebih tertarik untuk menyertainya dan mula bergotong-royong mencantikkan kawasan perkampungan. Perlibatan badan NGO yang lebih giat dan aktif dapat menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya amalan tersebut dalam kehidupan komuniti. Melalui itu, masyarakat diharapkan mendapat mesej yang dibawa oleh kerajaan untuk mempergiat amalan ini.


Secara tuntasnya, amalan bergotong-royong ini sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat sehingga kerajaan mengambil beberapa inisiatif untuk menghidupkan kembali amalan tersebut. Kerajaan boleh mengguna kaedah yang lain dan lebih kreatif untuk memikat masyarakat. Jika amalan ini terus terkubur, masyarakat akan hidup dalam keadaan tidak aman dan sengsara. Sehubungan dengan itu, masyarakat harus bermula dari sekarang untuk mengubah diri agar amalan ini dipraktikkan sehingga akan datang dan dianggap amalan yang ‘tak basah dek hujan, tak lekang dek panas’. Sebagai penutup wacana, marilah kita belajar amalan yang baik ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah, ‘yang baik dijadikan teladan,yang buruk dijadikan sempadan’


LAMPIRAN






Comments